Teluk Kemang

ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA

Pendaftran Pelajar Sesi Januari 2010.

1. Pendaftaran Pelajar Baharu Semester 1 pada 12 Jan 2010 di Blok A dan Blok B.

2. Pendaftaran pelajar tamat Latihan Industri (Menyerah laporan LI) pada 12 Jan 2010 di DK4,DK5 & DK6.

3. Pendaftaran Lapor Diri Pelajar Senior pada 13 Jan 2010 di Blok A dan Blok B.

4. Pendaftaran Pelajar Baru Integrasi pada 13 Jan 2010 di Blok A.

Nota :- Pelajar Baharu Sem.1 yang ditawarkan asrama perlu mendaftar di asrama pada 11Jan 2010 sementara Pelajar Senior yang ditawarkan asrama perlu mendaftar pada 12 Jan 2010.

Selamat Maju Jaya.



Sudah lebih sebulan syaawal berlalu namun di kesempatan hujung minggu yang lepas kami sekeluarga sempat menghabiskan cuti dengan menziarahi saudara mara dan sahabat handai sekitar Kuala Lumpur. Kebetulan hari isnin merupakan cuti umum bagi Negeri Sembilan sempena pertabalan Yang DiPertuan Besar. Aktiviti ziarah tidak terbatas hanya pada hari raya sahaja namun kita digalakkan membudayakan amalan tersebut pada hari-hari yang lain jika ada kesempatan.



Pada 16 September 2009 Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama beberapa pihak telah menganjurkan Kempen Keselamatan Jalan Raya. Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya terutamanya pelajar-pelajar yang menunggang motosikal agar sentiasa berhati-hati semasa di atas jalan raya. Pemplet dan pelekat diedarkan kepada penunggang motosikal.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
Minal Aidi Wal Faizin.
Maaf Zahir dan Batin.



Ikhlas dari :-
HJ. WAN MOHD HUJJATULLAH HJ.WAN GHAZALI
HJH. SALWANI HJ. ABDUL MANAF
WAN ANIS HUMAIRA
WAN FATEN ALIFA
WAN AINA SOFEA
WAN AHMAD ZIYAD
WAN KHALIFAH NABILA

Selamat Datang Ramadhan Al Mubarak 1430 Hijrah. Sekali lagi kita berpuasa. Ramadhan bukan bulan beristirehat atau tidur. Ramadhan mendidik kita agar lasak berjihad menentang musuh sama ada musuh dalam diri (rohani) dan luar (jasmani). Kemenangan berjihad terhadap diri sendiri membolehkan kita mencapai kemenangan yang lebih besar dalam pelbagai bidang.

Sejarah membuktikan kemenangan umat Islam dalam peperangan yang berlaku adalah pada bulan Ramadhan. Perang Badar pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah 313 Mujahidin menewaskan 1,000 mushrikin. Fathu Makkah pada 20 Ramadhan tahun 8 Hijrah 10,000 Mujahidin menuju Makkah dan mencapai kemenangan. Pembukaan Andalus pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah 12,000 Mujahidin diketuai oleh Tariq Bin Ziyad menewaskan 100,000 musuh, 8 hari bertempur 3,000 syahid. Perang Hittin pada Ramadhan tahun 584 Hijrah Mujahidin diketuai oleh Sultan Salahuddin Al Ayubi menewaskan musuh. 10 Ramadhan 1393 Hijrah kemenangan tentera Islam menentang kemaraan Israel dan merebut Suez.

Kalau makan habis satu kawah camni kat pejabat asyik tidur je la.

Jabatan Kesihatan hari ini (3 Ogos 2009) memaklumkan melalui faksimili bahawa 4 dari 5 sampel pelajar PPD yang diambil adalah positif. Oleh yang demikian seluruh warga PPD perlu mengambil langkah pencegahan yang lebih serius agar penularan virus H1N1 ini dapat dikawal. Nasihat-nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan mestilah dipatuhi. Mereka yang merasa waswas terhadap status kesihatan diri hendaklah segera mendapatkan rawatan. Semoga kita sentiasa di bawah lindungan Ilahi. Amin.

Politeknik Port Dickson telah mengambil beberapa inisiatif awal yang sewajarnya sebagai respon kepada isu H1N1 yang melanda negara masa kini. Antaranya merujuk pelajar-pelajar yang mengalami siptom demam dan batuk yang pertama kali dikesan pada 27 Julai 2009 ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Mengadakan perbincangan dengan Pejabat Kesihatan Port Dickson. Mengatur taklimat dan penerangan kepada pelajar serta mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon dijauhi segala musibah.


Gambar A : Perbincangan PPD bersama Pejabat Kesihatan Port Dickson pada 29 Julai 2009 jam 3.30 petang


Gambar B : Taklimat H1N1 kepada pelajar PPD oleh Jabatan Kesihatan PD pada 30 Julai 2009 jam 10.00 pagi

Alhamdulillah sehingga nota ini dicatat tiada kes H1N1 dikesan di Politeknik Port Dickson. Namun demikian pihak Jabatan Kesihatan Port Dickson telah mengambil beberapa sampel untuk dianalisa dan keputusannya dijangka dimaklumkan pada hari Sabtu ini (1 Ogos 2009).

Sebagai langkah pencegahan dan berjaga-jaga, Mesyuarat Khas Pengurusan PPD pada 30 Julai 2009 yang berakhir jam 6.00 petang telah memutuskan bahawa Proses Pengajaran dan Pembelajaran ditangguhkan selama seminggu berkuatkuasa 3 Ogos 2009 hingga 7 Ogos 2009. Implikasi ketetapan ini adalah seperti berikut :-

1. Proses Pengajaran dan Pembelajaran kepada semua pelajar termasuk KSS ditanggukan selama seminggu dan bersambung semula mulai 10 Ogos 2009.

2, Pendaftran Pelajar Senior ditangguhkan dari 3 Ogos kepada 10 Ogos 2009. Masa dan tempat tidak berubah.

3. Pendaftaran Pelajar Baru Integrasi ditangguhkan dari 3 Ogos kepada 10 Ogos 2009. Masa dan tempat tidak berubah.

4. Semua aktiviti pelajar sama ada dalam atau luar kampus ditangguhkan dan disambung semula mulai 10 Ogos 2009.

"Apabila kamu berazam (berusaha dan berikhtiar sewajarnya) maka bertawakkallah kepada Allah SWT, Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang bertawakkal". (Ali-Imran : 159)

Isu H1N1 semakin membimbangkan. Kini mula menyelinap masuk ke Institusi Pengajian. Sebelum ini beberapa cawangan UiTm ditutup sebagai langkah untuk mengekang wabak tersebut. Selepas itu beberapa Politeknik di Malaysia telah diarahkan tutup kerana beberapa kes H1N1 yang melibatkan pelajar. Empat kem PLKN juga dilaporkan ditutup. Terkini UPM telah mengambil langkah meminda cuti kepada seminggu lebih awal bagi mengurangkan risiko penularan H1N1 ini.


Gambar Atas :- Sebahagian dari 40 pelajar PPD menunggu rawatan di Hospital PD jam 1.45 pagi 29 Julai 2009

Senario atau bahang H1N1 ini juga mula terasa di Politeknik Port Dickson. Sejak beberapa hari yang lepas lebih 20 pelajar Kamsis PPD setiap pagi dan setiap malam telah dihantar ke Hospital atau klinik. Pagi ini (29 Julai 2009) 40 pelajar Kamsis dihantar ke Hospital PD (Bhg. Kecemasan) kerana pelbagai penyakit yang kebanyakannya demam dan batuk yang merupakan siptom H1N1. Pihak Hospital pada mulanya tidak mahu menerima pelajar untuk rawatan dengan alasan bukan kes kecemasan. Setelah berbincang akhirnya mereka bersetuju merawat dan seorang pelajar telah ditahan kerana denggi.

Terima kasih kepada Tuan Pengarah PPD, warden dan pemandu di atas keperihatinan dan hadir bersama-sama pelajar yang mendapatkan rawatan sehingga jam 2.00 pagi ini. Tidak lupa terima kasih kepada pihak Hospital PD dan semua pihak yang telah bekerjasama menangani isu kesihatan pelajar PPD dari dulu sehingga kini. Alhamdulillah setakat ini PPD masih bertahan dan tiada kes rasmi H1N1 yang dikesan. Namun demikian langkah berjaga-jaga perlu dilakukan secara komprehensif oleh seluruh warga PPD.

Cadangan memberi cuti awal kepada pelajar semester satu bagi mengurangkan populasi di dalam kampus dan kamsis wajar dipertimbangkan. Jumlah pelajar semester satu adalah seramai 1,225 pelajar. Merujuk kalendar akademik Sesi Julai 2009 pelajar semester satu mempunyai 3 minggu cuti pertengahan semester dan 2 minggu cuti sebelum peperiksaan akhir. 1 minggu daripada cuti tersebut dicadangkan diambil dan digunakan pada minggu depan di saat bahang H1N1 mula terasa di PPD khususnya di Kamsis bagi mengembalikan ketenangan.

Mencegah lebih baik dari merawat. Semoga Allah SWT melindungi seluruh warga PPD dan keluarga dari musibah H1N1 ini. Amin.



Sebuah organisasi umpama sebuah pasukan bolasepak. Pasukan ini tidak akan berjaya sekiranya tidak ada pengurus yang baik. Pengurus yang terbaik sahaja tidak memadai kalau tidak ditadbir pasukan itu dengan bijak. Pengurusan dan Pentadbiran yang bijak tidak berjaya tanpa ada pemain yang kompiten (mempunyai Attitude, Skill dan Knowledge). Mempunyai Pengurus, Pentadbir dan Pemain yang terbaik tidak akan membawa pasukan tersebut berjaya dan cemerlang sekiranya tidak berkerja dalam satu pasukan. Pengurus cemerlang akan kecewa, pentadbir terbilang tidak berkesan, pemain terbaik tidak kompiten akhirnya pasukan akan kecundang. Oleh yang demikian bekerja sebagai satu pasukan amatlah penting untuk kejayaan dan kecemerlangan organisasi kita.

Apabila berada di pagi hari jangan menunggu waktu petang, kerana mungkin hari ini sahaja kita berkesempatan untuk hidup. Oleh itu kita tidak perlu memikirkan hari kemarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan atau keburukan. Hari ini kita mesti membahagikan masa dengan bijak. Buatlah segala tugas yang diamanahkan dengan penuh intergriti, ikhlas dan jujur. Bekerjalah dengan mesra, cekap dan berkesan. Buatlah seberapa banyak kebajikan dan kebaikan pada hari ini. Laluilah hari ini tanpa rasa sedih, marah, dengki dan benci. Semoga kehidupan kita diredhai Ilahi.


Sepanjang sebelas tahun bersama Jabatan Pengajian Am (JPA) banyak pengalaman dan cabaran yang ditempuhi. Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua staf JPA di atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Ketua Jabatan Pengajian Am. Tanpa kerjasama dan sokongan Tuan Puan saya tidak mampu untuk menyempurnakan tugas menjayakan visi dan misi Jabatan Pengajian Am dan Politeknik Port Dickson. Segala kerjasama dan sokongan Tuan Puan akan sentiasa dikenang. Tahniah kepada Puan Izawati Isa yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Am yang baru mulai 18 Mei 2009. Berilah sokongan kepada beliau. Pada tarikh yang sama saya diberi tanggungjawab yang baru sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar di Politeknik Port Dickson. Walaupun di jabatan yang lain tetapi kita semua masih lagi bernaung di bawah satu bumbung yang sama. Saya berharap rakan-rakan di JPA akan terus memberi sokongan kepada saya sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar untuk sama-sama kita membawa PPD terus maju dan cemerlang. Selamat Maju Jaya.


Dalam menjalani kehidupan demi mencapai kecemerlangan kita perlu mencapai keseimbangan dalam 6 perkara iaitu agama, pendidikan, fizikal, keluarga, kerjaya dan sosiol. Aspek pertama kita perlu mematuhi ajaran agama dan memberi tumpuan yang sepatutnya. Tingkatkan tahap pendidikan agar kita sentiasa kompeten melalui pembacaaan, kursus dan sebagainya. Keluarga jangan diabaikan. Jadikan keluarga sebagai rumahku syurgaku. Fizikal juga perlu kepada perhatian. Jangan terlewat untuk bersukan. Jangan lupa diat kerana perut adalah punca segala penyakit. Dari segi sosial pula pergaulan dengan rakan dan jiran tetangga mestilah baik. Ingat pesanan orang tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Akhir sekali kerjaya. Beri tumpuan sepenuhnya. Lakukan kerja dengan ikhlas, jujur dan amanah. Jika kita dapat melaksana dan menjayakan tuntutan keseimbangan kehidupan kita dalam 6 bidang ini, percayalah kita akan mencapai kebahagiaan dan kecemerlangan.

Kerja merupakan amanah dan tanggungjawab. Marilah kita sama-sama menjadikan kerja kita sesuatu yang menyeronokkan. Sebagai suatu tanggungjawab kepada Negara dan sebagai suatu amanah dan ibadah kepada Tuhan. Adalah penting untuk kita sentiasa membina suasana yang sejahtera, tenteram dan selesa di pejabat tempat kita bekerja, bertolak ansur dan menjalin hubungan yang baik dengan rakan sekerja kita. Ini disebabkan sebahagian besar masa kita dihabiskan untuk bekerja dan berada di tempat kerja. Dalam sehari 10 jam kita berada di pejabat termasuk 2 jam masa perjalanan bermakna dalam seminggu 2 hari adalah masa kita berada di pejabat. Sebulan bermakna 8 hari. Kalau setahun kita bekerja bermakna 2 bulan kita berada di pejabat. Kalau 10 tahun, 3 tahun adalah masa kita berada di pejabat. Ini merupakan suatu jangka masa yang lama. Adalah malang kalau kita menghabiskan masa yang panjang itu dalam suasana dan keadaan yang tegang, tension, sedih dan tidak menyeronokkan. Setiap hari datang dan tengok bangunan pejabat sudah rasa tension dan tidak seronok. Tengok muka rakan sekerja rasa terseksa. Oleh yang demikian menjadi kewajipan kepada semua pihak menjalinkan perhubungan yang baik dan mewujudkan suasana kerja yang ceria, selesa dan menyeronokkan agar masa yang panjang yang kita habiskan di pejabat tidak sia-sia bahkan memberi nilai dan makna yang besar kepada diri kita, rakan sekerja kita dan organisasi kita. Seorang pekerja yang baik kehadirannya tidak mendatangkan masalah kepada jabatan dan organisasi sebaliknya memberi sumbangan dalam meningkatkan kecemerlangan jabatan dan pemergiannya dianggap sebagai suatu kehilangan besar kepada sesebuah organisasi. Oleh yang demikian sama-samalah kita menjadi pekerja yang baik dan tidak memberi masalah kepada organisasi yang kita bernaung di bawahnya.

Guru merupakan lilin. Membakar diri menerangi keliling. Kata Imam As-Syafie “Hampir-hampir seorang Guru itu Utusan Tuhan”. Kata-kata ini menggambakan kemulian guru dan tanggungjawab yang berat bersedia menanti di atas bahu guru atau pendidik. Di tangan gurulah letaknya harapan bangsa dan negara. Kalau pada hari ini dia seorang jurutera, doktor atau akauntan ketahuilah bahawa sejarah pendidikan awalnya adalah bermula dari tangan seorang guru. Kalau dia pada hari ini seorang penjenayah, perasuah atau sampah masyarakat percayalah bahawa sejarah pendidikan awalnya juga bermula dari tangan seorang guru. Lihatlah betapa besarnya pengaruh seseorang guru, boleh mendominasikan masa depan seseorang manusia. Oleh yang demikian tugas guru atau pendidik bukan setakat mengajar subjek atau memberi kefahaman terhadap sesuatu topik pembelajaran tetapi juga bertanggungjawab menyemai dan memupuk nilai-nilai murni dan akhlak mulia agar melahirkan warga yang soleh dan bertanggungjawab, seimbang dari segi rohani dan jasmani selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita.

Selamat menyambut hari Ibu. Pengorbanan ibu tidak terkira.

Selamat menyambut hari pekerja 1 Mei 2009. Sumbangan pekerja amat besar dalam pembangunan negara kita sewajarnya diberi penghargaan. Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada aset pekerja yang cekap, dedikasi dan amanah. Pekerja yang kompiten memiliki 3 element utama iaitu pengetahuan, skill dan sikap atau attitude. Kerja juga merupakan suatu ibadah kepada Allah swt.

Tahniah kepada semua graduan PPD sempena majlis konvokesyen PPD kali ke-18. Seramai 1920 pelajar telah berjaya menamatkan pengajian di PPD pada tahun 2008. Lebih 1400 lulusan telah hadir pada konvokesyen yang diadakan pada 2 sidang pada 28 dan 29 April 2009 di Dewan Wawasan PPD. Tahniah kepada semua graduan. Tidak lupa juga penghargaan kepada seluruh warga PPD yang menyumbangkan idea, masa dan tenaga dalam menjayakan majlis konvokesyen ini.

"Dari Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah S.A.W bersabda : " Sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 malaikat dan sesiapa yang berpuasa pada hari Aasyura (10 Muharram) maka akan diberi pahala 10,000 orang berhaji dan berumrah, dan 10,000 pahala orang mati syahid, dan barang siapa yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut maka Allah S.W.T akan menaikkan dengan setiap rambut satu darjat. Dan sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa pada orang mukmin pada hari Aasyura, maka seolah-olah dia memberi makan pada seluruh ummat Rasulullah S.A.W yang berbuka puasa dan mengenyangkan perut mereka." Lalu para sahabat bertanya Rasulullah S.A.W : " Ya Rasulullah S.A.W, adakah Allah telah melebihkan hari Aasyura daripada hari-hari lain?". Maka berkata Rasulullah S.A.W : " Ya, memang benar, Allah Taala menjadikan langit dan bumi pada hari Aasyura, menjadikan laut pada hari Aasyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Aasyura, menjadikan Nabi Adam dan juga Hawa pada hari Aasyura, lahirnya Nabi Ibrahim juga pada hari Aasyura, dan Allah S.W.T menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api juga pada hari Aasyura, Allah S.W.T menenggelamkan Fir'aun pada hari Aasyura, menyembuhkan penyakit Nabi Ayyub a.s pada hari Aasyura, Allah S.W.T menerima taubat Nabi Adam pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengampunkan dosa Nabi Daud pada hari Aasyura, Allah S.W.T mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman juga pada hari Aasyura, dan akan terjadi hari kiamat itu juga pada hari Aasyura !". "

Wallaua'lam