Teluk Kemang

ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT SEJAHTERA

Sebuah organisasi umpama sebuah pasukan bolasepak. Pasukan ini tidak akan berjaya sekiranya tidak ada pengurus yang baik. Pengurus yang terbaik sahaja tidak memadai kalau tidak ditadbir pasukan itu dengan bijak. Pengurusan dan Pentadbiran yang bijak tidak berjaya tanpa ada pemain yang kompiten (mempunyai Attitude, Skill dan Knowledge). Mempunyai Pengurus, Pentadbir dan Pemain yang terbaik tidak akan membawa pasukan tersebut berjaya dan cemerlang sekiranya tidak berkerja dalam satu pasukan. Pengurus cemerlang akan kecewa, pentadbir terbilang tidak berkesan, pemain terbaik tidak kompiten akhirnya pasukan akan kecundang. Oleh yang demikian bekerja sebagai satu pasukan amatlah penting untuk kejayaan dan kecemerlangan organisasi kita.

Apabila berada di pagi hari jangan menunggu waktu petang, kerana mungkin hari ini sahaja kita berkesempatan untuk hidup. Oleh itu kita tidak perlu memikirkan hari kemarin yang telah berlalu dengan segala kebaikan atau keburukan. Hari ini kita mesti membahagikan masa dengan bijak. Buatlah segala tugas yang diamanahkan dengan penuh intergriti, ikhlas dan jujur. Bekerjalah dengan mesra, cekap dan berkesan. Buatlah seberapa banyak kebajikan dan kebaikan pada hari ini. Laluilah hari ini tanpa rasa sedih, marah, dengki dan benci. Semoga kehidupan kita diredhai Ilahi.


Sepanjang sebelas tahun bersama Jabatan Pengajian Am (JPA) banyak pengalaman dan cabaran yang ditempuhi. Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua staf JPA di atas kerjasama yang telah diberikan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Ketua Jabatan Pengajian Am. Tanpa kerjasama dan sokongan Tuan Puan saya tidak mampu untuk menyempurnakan tugas menjayakan visi dan misi Jabatan Pengajian Am dan Politeknik Port Dickson. Segala kerjasama dan sokongan Tuan Puan akan sentiasa dikenang. Tahniah kepada Puan Izawati Isa yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengajian Am yang baru mulai 18 Mei 2009. Berilah sokongan kepada beliau. Pada tarikh yang sama saya diberi tanggungjawab yang baru sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar di Politeknik Port Dickson. Walaupun di jabatan yang lain tetapi kita semua masih lagi bernaung di bawah satu bumbung yang sama. Saya berharap rakan-rakan di JPA akan terus memberi sokongan kepada saya sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar untuk sama-sama kita membawa PPD terus maju dan cemerlang. Selamat Maju Jaya.


Dalam menjalani kehidupan demi mencapai kecemerlangan kita perlu mencapai keseimbangan dalam 6 perkara iaitu agama, pendidikan, fizikal, keluarga, kerjaya dan sosiol. Aspek pertama kita perlu mematuhi ajaran agama dan memberi tumpuan yang sepatutnya. Tingkatkan tahap pendidikan agar kita sentiasa kompeten melalui pembacaaan, kursus dan sebagainya. Keluarga jangan diabaikan. Jadikan keluarga sebagai rumahku syurgaku. Fizikal juga perlu kepada perhatian. Jangan terlewat untuk bersukan. Jangan lupa diat kerana perut adalah punca segala penyakit. Dari segi sosial pula pergaulan dengan rakan dan jiran tetangga mestilah baik. Ingat pesanan orang tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Akhir sekali kerjaya. Beri tumpuan sepenuhnya. Lakukan kerja dengan ikhlas, jujur dan amanah. Jika kita dapat melaksana dan menjayakan tuntutan keseimbangan kehidupan kita dalam 6 bidang ini, percayalah kita akan mencapai kebahagiaan dan kecemerlangan.

Kerja merupakan amanah dan tanggungjawab. Marilah kita sama-sama menjadikan kerja kita sesuatu yang menyeronokkan. Sebagai suatu tanggungjawab kepada Negara dan sebagai suatu amanah dan ibadah kepada Tuhan. Adalah penting untuk kita sentiasa membina suasana yang sejahtera, tenteram dan selesa di pejabat tempat kita bekerja, bertolak ansur dan menjalin hubungan yang baik dengan rakan sekerja kita. Ini disebabkan sebahagian besar masa kita dihabiskan untuk bekerja dan berada di tempat kerja. Dalam sehari 10 jam kita berada di pejabat termasuk 2 jam masa perjalanan bermakna dalam seminggu 2 hari adalah masa kita berada di pejabat. Sebulan bermakna 8 hari. Kalau setahun kita bekerja bermakna 2 bulan kita berada di pejabat. Kalau 10 tahun, 3 tahun adalah masa kita berada di pejabat. Ini merupakan suatu jangka masa yang lama. Adalah malang kalau kita menghabiskan masa yang panjang itu dalam suasana dan keadaan yang tegang, tension, sedih dan tidak menyeronokkan. Setiap hari datang dan tengok bangunan pejabat sudah rasa tension dan tidak seronok. Tengok muka rakan sekerja rasa terseksa. Oleh yang demikian menjadi kewajipan kepada semua pihak menjalinkan perhubungan yang baik dan mewujudkan suasana kerja yang ceria, selesa dan menyeronokkan agar masa yang panjang yang kita habiskan di pejabat tidak sia-sia bahkan memberi nilai dan makna yang besar kepada diri kita, rakan sekerja kita dan organisasi kita. Seorang pekerja yang baik kehadirannya tidak mendatangkan masalah kepada jabatan dan organisasi sebaliknya memberi sumbangan dalam meningkatkan kecemerlangan jabatan dan pemergiannya dianggap sebagai suatu kehilangan besar kepada sesebuah organisasi. Oleh yang demikian sama-samalah kita menjadi pekerja yang baik dan tidak memberi masalah kepada organisasi yang kita bernaung di bawahnya.